Saturday, February 25, 2012

Surat: Kempen Bantah Kilang Peleburan Aluminium

Rakan-rakan sekalian,


Sekumpulan rakyat biasa Sarawak telah melancarkan satu kempen anti kilang peleburan Aluminium yang bernama STOP ASP melalui internet. Kami ingin menggunakan saluran ini untuk menyampaikan maklumat tentang kilang peleburan Aluminium yang membahayakan kesihatan manusia dan mencemarkan alam sekitar. Kami juga ingin mendapat lebih banyak perhatian daripada para warga Malaysia untuk menggesa kerajaan menghentikan operasi kilang dan mengharamkannya. ASP ialah singkatan untuk Aluminium Smelting Plant, iaitu kilang peleburan Aluminium.

Mengapa Kilang Peleburan Aluminium (ASP) perlu dihentikan? Pertama, pembinaan empangan air untuk membekalkan tenaga elektrik yang tinggi kepada ASP akan memusnahkan persekitaran semula jadi di Sarawak. Malahan jangka hayat sesebuah empangan air adalah sekitar 50 tahun sahaja. Kedua, Kilang Peleburan Aluminium membahayakan kesihatan penghuni-penghuni tempatan. Beberapa video yang disiarkan dalam Youtube menunjukkan penduduk Balingian telah menyaksikan kesan kewujudan kilang ini- Peningkatan yang ketara dalam bilangan kanak-kanak yang jatuh sakit, tumbuh-tumbuhan yang mati dan bilangan ikan yang semakin berkurangan, dan lain-lain. Ketiga dan juga yang terakhir, sisa kilang yang dihasilkan oleh Kilang Peleburan Aluminium akan menyebabkan pencemaran. Sekiranya sisa berbahaya itu tidak dikendali secara berhati-hati, contohnya: disalurkan ke sungai, pembocoran bekas sisa, dan lain-lain, para penghuni yang mendiami tepi sungai akan menderita. Dengan sikap kerajaan negeri Sarawak yang mengalu-alukan projek Kilang Peleburan Aluminium ini, akibatnya seluruh Sarawak akan terjejas pada akhirnya.

Dalam kempen ini, kami mempunyai dua permintaan iaitu: pertamanya, kami menggesa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak menghentikan operasi Kilang Peleburan Aluminium di Balingian dan mengharamkan pembinaan kilang ini di seluruh Malaysia. Kedua, kami menggesa Kerajaan Negeri Sarawak supaya menyiasat secara mendalam tentang isu kesihatan dan persekitaran yang muncul di Balingian dan mendedahkan laporan penyiasatan kepada orang awam.

Untuk menyokong kempen kami, sila "suka" page Stop ASP (https://www.facebook.com/pages/Stop-ASP/334599206581381?sk=info) dan menyebarkan maklumat-maklumat yang dipamerkan di page tersebut kepada rakan-rakan anda tidak kira melalui internet ataupun lisan. Kesejahteraan alam sekitar dan manusia haruslah menjadi tumpuan utama kerajaan dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.

Sekian, terima kasih.

Stop ASP People Movement/ Gerakan Rakyat Membantah Kilang Peleburan Aluminium

Mail-e: stopasp@gmail.com
blog: http://stopasp.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment