Sunday, February 26, 2012

Berita: Loji Press Metal di Bintulu beroperasi Sept



LAWAT: Kakitangan AZAM bersama wakil media tempatan merakamkan kenangan di Press Metal Sarawak Sdn Bhd, Mukah kelmarin. Turut kelihatan ialah Koon (sembilan kiri) serta Aloysius (sepuluh kiri).
Berkos RM3b, loji kedua selepas Mukah berupaya hasil 320,000 tan metrik aluminium
MUKAH: Loji peleburan aluminium Press Metal Berhad (PMB) di Samalaju, Bintulu yang dibina dengan kos lebih kurang RM3 bilion dijadual mula beroperasi pada September tahun ini.

Pengarah Eksekutif PMB, Koon Poh Ming berkata, loji tersebut adalah yang kedua milik PMB di negara ini selepas loji Press Metal Sarawak Sdn Bhd (PMSSB) di Mukah, yang telah beroperasi sejak bulan Ogos 2009.
“Setelah beroperasi nanti, loji ini berupaya mengeluarkan 320,000 tan metrik aluminium,” ujarnya kepada pemberita yang mengadakan lawatan ke loji PMSSB, petang kelmarin.

Lawatan itu yang dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) bertujuan memberi gambaran lebih jelas berhubung apa yang berlaku dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Dalam lawatan itu yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Datu Aloysius Dris dan Ketua Pegawai Pelaburan RECODA, Kamil Daniel Yap, rombongan turut diberi taklimat berhubung operasi PMB dan PMSSB oleh Pengurus Pembangunan dan Teknikal PMSSB, Siew Eng Fui.

PMB ditubuhkan pada tahun 1986 serta beribu pejabat di Kuala Lumpur, beroperasi di beberapa buah negara seperti United Kingdom, Australia, China, Kanada, Hong Kong, Singapura dan Dubai.

Ditanya berhubung perancangan syarikat bagi memperluaskan operasinya di Mukah, Koon berkata syarikat buat masa ini tidak mempunyai perancangan tersebut.

Ini kerana, katanya, apabila syarikat memperluaskan operasi di Mukah, keperluan terhadap tenaga elektrik juga akan bertambah dan ini memerlukan penyambungan talian kabel yang baharu.

“Oleh itu kita mengambil keputusan untuk membina loji baharu di Samalaju, Bintulu bagi meningkatkan pengeluaran syarikat,” jelas Koon.

Loji PMSSB yang dibina dengan kos kira-kira RM1 bilion di kawasan seluas 1,000 ekar, berupaya mengeluarkan 120,000 tan metrik aluminium.

Syarikat mengeluarkan aluminium dalam bentuk jongkong (ingot) dan batang aluminium (billets), dengan lebih separuh pengeluaran dieksport ke negara luar seperti Jepun, Korea, Indonesia, Vietnam dan sebagainya.
Loji PMSSB di Mukah ini menggunakan teknologi yang disediakan oleh Aluminium Corporation of China Limited (CHALCO).


http://www.theborneopost.com/2012/01/14/loji-press-metal-di-bintulu-beroperasi-sept/

No comments:

Post a Comment